Senin, 28 Januari 2013

... RenungaN ...

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu 'dimandikan'
Berwudhu’lah kamu sebelum kamu 'diwudhu’kan'
Dan solatlah kamu sebelum kamu 'disolatkan'..

Tutuplah ‘auratmu sebelum ‘auratmu 'ditutupkan'
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih..

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan 'Fardhu Kifayah'..

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat..

Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
Iringilah dirimu ke masjid..

Sebelum kamu diiringi ke Pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa’..

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan ‘Izrail yang menakutkan..

Berimanlah kamu sebelum kamu 'ditalkinkan'
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi..

Beristighfarlah kamu sebelum kamu
'diistighfarkan'
Namun ketika itu istighfar tidak
menyelamatkan..

Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap 'memijak' bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati 'rezeki' Tuhan..

Justeru bila DIA menyeru, sambutlah seruan-NYA
Sebelum DIA memanggilmu buat kali yang terakhirnya..

Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti..

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patok itik tak sudu..

Tapi ALLAH mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat
Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat..

Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alas Solaah’
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alal Falaah’
Jalan kemenangan akhirat dan dunia..

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan..

Pada hari itu tiada berguna Harta, takhta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia…

Justeruku menyeru sekelian muslimin dan muslimat 'USUNGLAH DIRIMU KE TIKAR SOLAT'…

Sebelum kamu diusung ke liang lahad..

Allahuakbar..
Allahuakbar..
Allahuakbar.

Tidak ada komentar: